
SABAK BERNAM – Gerak hati seorang pekerja kandang ayam pulang ke rumah untuk mengambil tukul besi berjaya menyelamatkan adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran di sebuah rumah di Batu 37, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Apandi Mohd Arif, 42, yang tiba di rumah itu terkejut apabila melihat kepulan asap keluar dari arah sebuah bilik berhampiran ruang tamu rumahnya.
Apandi berkata, dia terus berlari ke belakang rumah dan kemudian masuk melalui pintu belakang untuk mencari adiknya, Mohd Azri, 32.
“Walaupun ketika itu api marak, saya tekad selamatkan adik keluar dari rumah ini kerana bimbangkan keselamatannya dan mungkin boleh mati jika terus berada di dalam rumah tersebut,” katanya.
Ketika kejadian itu menurutnya, Mohd Azri tidak berbaju dan hanya memakai tuala mandi sambil duduk di kerusi dapur rumah sebelum dia bertindak menarik tangan adiknya itu keluar menyelamatkan diri.
“Dia (Mohd Azri) tak tahu apa yang berlaku pada waktu itu, tanpa berlengah saya terus bawa dia keluar,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian itu, dia yang ingin ke tempat kerja sempat melihat adiknya sedang menikmati juadah makan tengah hari.
“Walaupun rumah kami terbakar, tetapi saya bersyukur kerana dia (Mohd Azri) sempat diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dialami,” katanya.
Apandi berkata, sejak dua hari lalu, dia hanya tinggal berdua bersama adiknya selepas ibunya, Buniah Ismail, 60-an dan isterinya, Norizah Bahar, 40-an mengerjakan ibadah haji.
Dalam pada itu, Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik sempat meluangkan masa melawat mangsa kebakaran dan menyampaikan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.
Katanya, operasi memadam kebakaran itu diperkuatkan dengan sebuah jentera dan 10 anggota, selain turut mendapat bantuan daripada Bomba Sukarelawan Pekan Sabak Bernam.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit selepas itu dan didapati bahagian ruang tamu dan sebuah bilik rumah yang dipenuhi bahan bacaan musnah dalam kejadian terbabit,” katanya. – Sinar Harian